Sekolah di Perak beroperasi seperti biasa esok

Sekolah di Perak beroperasi seperti biasa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, Kinta Selatan dan Kuala Kangsar yang ditutup pada Jumaat lepas akan beroperasi seperti biasa esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di semua stesen pemantauan di negeri itu menunjukkan bacaan terkawal di bawah paras 150 setakat pukul 2 petang.

“Saya lihat cuaca hari ini baik berbanding dua tiga hari lepas dan kami harap ia (cuaca) akan terus baik dan tidak menjejaskan pembelajaran anak-anak di sekolah nanti,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kembara Kampung Angkat MADANI Bendang Siam Taiping (KAMBEST) 2026 di Kampung Batu 8, Bendang Siam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairudin meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu mengenai isu penutupan sekolah di negeri itu kerana semua maklumat rasmi akan dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Ada juga hebahan palsu mengatakan sekolah ditutup padahal perkara itu tidak rasmi. Semua maklumat mestilah daripada JPN yang akan membuat keputusan setelah mendapat bacaan IPU daripada pihak Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Perak Zulkafli Mohamed Mokhtar dalam kenyataan hari ini memaklumkan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta seluruh warga pendidikan hendaklah terus diberikan keutamaan.

Beliau berkata semua PPD hendaklah memastikan makluman itu disampaikan kepada semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah pentadbiran masing-masing untuk tindakan selanjutnya.

“Ibu bapa dan penjaga dimohon untuk merujuk kepada saluran rasmi JPN Perak bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi sekolah dan sebarang perubahan arahan susulan keadaan jerebu,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Zulkafli dilaporkan berkata semua institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan terbabit ditutup serta-merta berikutan IPU di stesen pemantauan Tasek Ipoh merekodkan bacaan 180.

Beliau berkata sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini