Suku Batek takut doktor - Utusan Malaysia

Suku Batek takut doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 29 Mac – Sikap Orang Asli suku kaum Batek yang takut membuat rawatan kesihatan menjadi punca penyakit ‘misteri’ menyerang hampir seluruh keluarga masyarakt itu di Kampung Kuala Koh, sejak awal tahun ini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, pihaknya bersama Kementerian Kesihatan sudah berkunjung ke kampung berkenaan untuk melakukan rawatan kesihatan, namun penduduk Orang Asli itu bertindak melarikan diri masuk ke dalam hutan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak akan berputus asa dan akan melakukan rawatan dan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk yang menderita penyakit kulit itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu atau bidang kesihatan di Kuala Koh adalah di bawah pengawasan pasukan bergerak Hospital Orang Asli, Gombak, Selangor.

“Kita akan terus memberi kesedaran dan memujuk penduduk Orang Asli untuk melakukan rawatan kesihatan supaya mereka yang dijangkiti penyakit itu dapat dirawat dengan sempurna,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

KEADAAN persekitaran kawasan rumah Orang Asli Batek
KEADAAN persekitaran kawasan rumah Orang Asli Batek 

Hashim berkata, suku Batek yang mempunyai sikap pemalu dan suka menyendiri daripada dunia luar juga tidak menjaga kebersihan diri serta kawasan persekitaran menyebabkan anggota tubuh mereka senang dijangkiti penyakit kulit.

Katanya, penyakit kulit yang menyerang penduduk itu merupakan penyakit mudah berjangkit selepas mereka bergaul sesama sendiri.

“Pada awal tahun ini pihak Jakoa dan pegawai perubatan daripada Hospital Orang Asli telah berkunjung ke kampung mereka melakukan rawatan serta memberi ubat-ubatan bagi mengawal penyakit berkenaan.

“Sebelum ini juga, pihak kami menyediakan bas untuk membawa mereka menerima rawatan di hospital tetapi mereka enggan menyebabkan penyakit semakin serius. Kita sedang bincang semula untuk rawatan bagi membantu masyarakat Orang Asli di kawasan ini,” katanya.

Semalam Utusan Online melaporkan kebimbangan kira-kira 120 Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini apabila diserang penyakit misteri yang menyebabkan tubuh mereka bersisik, bernanah dan berkudis sejak awal tahun ini.

Penyakit itu menyerang penduduk yang berumur antara dua hingga 30 tahun dan semakin serius apabila mereka belum menemukan sebarang penawar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini