KUALA LUMPUR 28 Feb. – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan dan jemaah yang mengiring bagi menunaikan haji pada tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, sekali gus menamatkan kekeliruan yang timbul kononnya jemaah rayuan dan pengiring perlu membayar kos penuh haji sebanyak RM22,900.
“Ini termasuk orang yang merayu kategori mahram, pengiring jemaah yang sudah lanjut usia, orang kurang upaya, mualaf dan satu lagi kategori rayuan yang tidak ada semua itu tapi dia dapat. Semua mereka ini kita telah buat keputusan akan terus dapat subsidi.
“Kita terpaksa menanggung perbelanjaan RM100 juta lagi apabila kita teruskan subsidi ini. Jika sebelum ini kita umumkan kos subsidi adalah RM305 juta, sekarang tanggungan untuk musim haji tahun ini menjadi RM400 juta ditambah dengan kes rayuan.
“Rundingan yang kita buat dengan Tabung Haji dan berkat pemulihan yang sedang berlaku hari ini memberi ruang kepada Tabung Haji untuk menyerap keseluruhan tanggungan Tabung Haji tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvokesyen Pondok Peringkat Kebangsaan 2019 dekat sini hari ini.
Mujahid berkata, ketetapan tersebut yang diputuskan hari ini dalam satu mesyuarat, diharap menghentikan spekulasi dibuat berhubung subsidi haji yang diumumkan sebelum ini.
“Saya tidak pernah kata rayuan tidak dapat subsidi, maka isu ini menjadi huru hara. Heboh dalam media sosial mengenai hal itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mujahid menganggap tindakan Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas yang mengugut untuk mengadakan perhimpunan aman berikutan kes penghinaan Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai satu tindakan bersifat politik yang ‘menunggang agama’.
“Saya mengesyaki ada pihak mahu kekalkan kebencian kepada kerajaan seakan-akan kita tidak menjaga kepentingan agama. Patutnya mereka sokong sebab kita sudah ambil tindakan pantas jatuhkan hukuman, bukan mahu adakan perhimpunan.
“Jadi bagi saya itu lebih pada kepentingan politik mungkin sebab Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih atau saja mahu gembar-gemburkan kononnya mereka lebih pertahankan Nabi Muhammad daripada orang lain. Ini yang kita kata mereka menunggang agama untuk kepentingan politik mereka,” katanya.










