KUALA LUMPUR 13 Mac – SMK Tengku Intan Zaharah (SMKTIZ) di Dungun, Terengganu berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.03 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018, sekali gus mengatasi PNGK negeri 2.99 iaitu yang terbaik pernah dicapai oleh calon STPM sekolah berkenaan setakat ini.
Pengetua SMKTIZ, Kamari Ibrahim berkata, SMKTIZ yang muncul sekolah terbaik di daerah Dungun, turut menempatkan sekolah itu dalam kelompok 20 sekolah menengah terbaik di Terengganu.
“SMKTIZ mencipta sejarah tersendiri. Pencapaian sekolah ini juga mengatasi PNGK kebangsaan iaitu 2.80. Alhamdulillah, terima kasih kepada komitmen tinggi guru-guru dan pelajar yang menaikkan imej dan prestasi SMKTIZ,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.
Kamari berkata, sebanyak dua calon memperoleh PNGK 4.0 iaitu semua A dalam semua subjek berbanding tiada calon yang memperoleh PNGK berkenaan pada 2017.

Dalam pada itu, Pengerusi PIBG SMKTIZ, Ahmad Jelani menambah, lebih manis lagi apabila seramai tujuh calon mendapat semua A iaitu kombinasi A dan A- berbanding hanya tiga calon pada 2017.
“Seramai 51 orang calon STPM sekolah ini memperoleh PNGK 3.0 ke atas iaitu 56.67 peratus. Kalau mengambil kira pencapaian PNGK 2.50 ke atas, sekolah ini telah menghasilkan seramai 71 orang atau 78.89 peratus. Pencapaian ini sangat memberangsangkan,” kata beliau.
Ahmad memberitahu, dua pelajar, Che Wan Nurul Jannah Che Wan Abd. Bakar dan Nur Addlin Faddlina Azuddi muncul pelajar terbaik STPM 2018 untuk SMKTIZ.
“Mereka memperoleh PNGK 4.0. Kami mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah ini dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru tingkatan enam serta Penolong Kanan Tingkatan Enam, Che Ros Maulud. Syukur, Alhamdulillah,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE











