TINDAKAN kerajaan yang menandatangani Statut Rom pada awal Mac mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai. Pelbagai hujah dikemukakan bagi menyokong dan menolak tindakan itu.
Apa yang harus diketahui adalah Statut Rom menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mempunyai bidang kuasa jenayah hanya terhadap empat jenis jenayah iaitu pembunuhan beramai-ramai (genocide), jenayah terhadap kemanusiaan (crimes against humanity), jenayah perang (war crimes) dan jenayah pencerobohan (crimes of aggression).
Ia bolehlah disifatkan sebagai pelanggaran hak asasi manusia paling dahsyat seperti pembunuhan etnik Rohingya, pembunuhan di Palestin dan Bosnia.
Berita berkaitan:
Menurut Perkara 5 Statut Rom, pihak yang terbabit dan bertanggungjawab dibawa ke ICC termasuk:
i- Orang melakukan kesalahan tersebut.
ii- Mereka yang memberi perintah atau arahan.
iii- Orang yang bersubahat melaksanakan satu daripada empat kesalahan bidang kuasa ICC.
Persoalan timbul kerana Yang di-Pertuan Agong juga adalah ketua turus angkatan tentera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, katalah tentera melakukan jenayah perang, adakah Yang di-Pertuan Agong juga boleh disabitkan kesalahan di ICC? Jika jawapannya bersifat afirmatif sudah pasti ia bermakna akan mengheret Yang di-Pertuan Agong ke muka pengadilan dan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Statut Rom memperuntukkan ketua tentera bertanggungjawab terhadap ketumbukan tentera bawah kawalan ‘efektifnya’ jika dia tahu akan perbuatan jenayah tersebut dan tidak mengambil langkah menghalangnya.
Selanjutnya tiada kekebalan atau imuniti diberi kepada ketua negara jika melakukan mana-mana daripada empat kesalahan bidang kuasa ICC. Demikianlah timbulnya pandangan Yang di-Pertuan Agong akan tertakluk kepada mahkamah antarabangsa dan ini dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan.
FAHAMI PERLEMBAGAAN
Untuk memahami isu ini, kita perlu menyelusuri sejarah Perlembagaan Persekutuan. Apabila perlembagaan ini digubal, raja-raja Melayu mempunyai imuniti total. Ini bermakna raja-raja Melayu tidak boleh didakwa terhadap apa perkara sama ada kapasiti rasmi atau peribadi. Konsep ini adalah lazim dan diamalkan juga di negara monarki lain seperti Thailand, Jepun dan Brunei.
Walau bagaimanapun, pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan pada 1993 iaitu Perkara 181 hingga 183 telah dimasukkan dan imuniti raja-raja Melayu dihadkan.
Raja-raja Melayu boleh didakwa atas kapasiti peribadinya di Mahkamah Khas selaras dengan Perkara 181 hingga 183 Perlembagaan Persekutuan. Hal ini bermaksud atas kapasiti peribadi raja-raja Melayu boleh didakwa dan mendakwa, boleh menyaman dan disaman di Mahkamah Khas tersebut.
Oleh itu bolehlah disimpulkan raja-raja Melayu tidak boleh tertakluk kepada mana-mana mahkamah melainkan Mahkamah Khas. Sekiranya baginda tertakluk kepada mahkamah lain, maka itu bercanggah dengan Perlembagaan.
Namun begitu, jenayah yang diadili di ICC hanya terhad kepada empat jenis jenayah disebut sahaja dan tidak melibatkan sebarang jenayah lain. Keempat-empat jenayah tersebut adalah jenayah yang keji yang tidak mungkin akan dilakukan oleh raja-raja Melayu.
Dalam masa sama raja-raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kawalan efektif terhadap ketumbukan tentera di Malaysia walaupun secara ‘ceremonial’ Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Turus Angkatan Tentera.
Oleh itu kebarangkalian Yang di-Pertuan Agong didakwa di ICC adalah kecil. Malah ICC pula adalah mahkamah terakhir (court of the last resort), oleh itu hanya setelah semua tindakan domestik diambil barulah ICC akan berfungsi. Jika tindakan diambil di peringkat dalaman, ICC tidak boleh mengambil peranan dalam isu sama.
RAJA BENTENG AKHIR
Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian adalah kita perlu mempertahankan institusi raja-raja Melayu kerana ia merupakan benteng terakhir untuk menjaga keamanan dan ketenteraman dalam negara. Dalam masa sama, kita tidak seharusnya berkompromi dengan kekejaman dilakukan mana-mana pihak.
Sejujurnya tidak ada dalam jangkauan pemikiran penulis, raja-raja Melayu akan melakukan mana-mana daripada empat jenayah dinyatakan di atas.
Adalah sangat nadir dalam logik akal kita baginda raja-raja Melayu melakukan jenayah kejam tersebut, malah badan ‘semak dan imbang’ dalam negara ini akan secara efektifnya menggagalkan tindakan tersebut jika berlaku.
Setelah menandatangani Statut Rom, Malaysia boleh membawa mana-mana negara lain yang juga penandatangan statut tersebut ke muka pengadilan di ICC. Keupayaan ini tidak diperoleh jika tidak menjadi penandatangan.
Selepas ini Malaysia boleh mengemukakan dakwaan di ICC bagi membawa mana-mana negara penandatangan sekiranya mereka terbabit dengan empat jenayah kejam di atas.
Oleh itu, penulis melihat tindakan kerajaan menandatangani Statut Rom tidak memberi kesan kepada kerangka asas Perlembagaan Persekutuan, malah memberi sedikit kelebihan kepada negara.
Namun, tindakan pihak kerajaan yang terburu-buru menandatangani Statut Rom tanpa berunding dengan raja-raja Melayu adalah tersasar daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh kerana ia memberi kesan kepada raja-raja Melayu, seharusnya kerajaan terlebih dahulu berunding dengan raja-raja Melayu, bukan hanya sekadar memberi makluman kepada Yang di-Pertuan Agong setelah menandatanganinya sahaja.
Kegagalan mematuhi prosedur yang dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan mungkin akan memberi kesan terhadap keabsahan tindakan kerajaan walaupun mungkin niatnya adalah baik sebagaimana dizahirkan oleh Sultan Johor baru-baru ini.
Johor mungkin lebih terkesan dengan isu ini kerana Sultan Johor memiliki tentera baginda sendiri yang dinamakan Timbalan Setia Johor. Oleh itu, sangatlah wajar bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan raja-raja Melayu terlebih dahulu.
Pihak kerajaan perlu menyemak semula kaedah suatu keputusan dibuat mestilah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan agar tindak mencacatkan tindakan yang diambil itu.











