SPRM diminta siasat pengambilalihan AES oleh LTAT - Utusan Malaysia

SPRM diminta siasat pengambilalihan AES oleh LTAT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat cadangan pengambilalihan projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Rafizal Ali, berkata hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang berhubung pelaksanaan projek AES oleh kerajaan terdahulu diserahkan kepada SPRM hari ini.

Beliau berkata, dalam siasatan yang dibentangkan kepada pihak kementerian pada 28 Januari lalu, JKSTUPKK mendapati pelaksanaan projek AES lebih menguntungkan syarikat konsesi dan meletakkan kerajaan dalam risiko kerugian.

“JKSTUPKK juga mendapati wujud campur tangan anggota pentadbiran kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri dan beberapa menteri kabinet kerajaan terdahulu yang lebih menjurus kepada kepentingan politik.

“Siasatan juga mendapati wujud keraguan terhadap cadangan LTAT mengambil alih projek AES yang hanya dibuat dalam perbincangan tanpa diminitkan antara bekas Perdana Menteri dengan beberapa menteri pada September 2014,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di sini hari ini.

Rafizal berkata, JKSTUPKK berpendapat pemilihan syarikat LTAT untuk mengambil alih AES adalah lebih kepada cubaan untuk menutup tuduhan bahawa kerajaan cuba melaksanakan bail-out.

Menurutnya, ini kerana wujud keraguan berhubung keperluan LTAT membayar RM555 juta bagi mengambil alih AES sedangkan kos asal hanya RM40 juta. 

“Kami minta satu siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca di sebalik arahan atau cadangan supaya LTAT mengambil alih AES dengan harga RM555 juta iaitu melebihi harga pasaran sekali gus mendedahkan wang pencarum anggota tentera kepada risiko kerugian,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizal berkata, selain kes projek AES, sebanyak 14 kes urus niaga land swap (penswastaan memajukan tanah) oleh kerajaan terdahulu akan dilaporkan kepada SPRM dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan oleh suruhanjaya itu.

“Selain itu ada lagi kes-kes pembelian aset tentera yang masih dalam siasatan JKSTUPKK,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini