LONDON 1 Mac – Ole Gunnar Solskjaer berada di landasan terbaik untuk menyandang jawatan pengurus tetap Manchester United selepas berjaya mengubah nasib pasukan itu sejak mengambil alih tugasan di Old Trafford, Disember lalu.
Solskjaer berjaya meraih 12 kemenangan daripada 15 perlawanan dan berjaya meraih kepercayaan pengurusan tertinggi kelab itu daripada meneruskan proses pencarian pengurus baharu.
United mahukan pengurus berpengalaman bagi menggantikan Jose Mourinho yang dipecat dan mereka melantik Solskjaer sebagai pengendali sementara, hujung tahun lalu dan mengenal pasti Mauricio Pochettino dan Massimiliano Allegri sebagai pengganti tetap.
Mereka bagaimanapun tidak meneruskan perancangan itu kerana gembira dengan gerak kerja yang dilakukan Solskjaer.
United sedar bahawa mereka perlu berbelanja besar untuk mendapatkan Pochettino dari Spurs atau Allegri dari Juventus dan bersetuju bahawa usaha untuk mengekalkan Solskjaer adalah jauh lebih mudah.-AGENSI











