SKMM ambil langkah proaktif lindungi pengguna media sosial - Utusan Malaysia

SKMM ambil langkah proaktif lindungi pengguna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 30 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil beberapa pendekatan proaktif dalam usaha untuk melindungi pengguna daripada aktiviti penyamaran oleh pihak tidak bertangungjawab dalam media sosial.

Ketua Pegawai Sektor Pematuhan SKMM, Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, antara pendekatan berkenaan termasuklah menutup akaun terbabit dengan kerjasama penyedia platform media sosial, tindakan penguatkuasaan dan kempen advokasi.

Beliau berkata, sebanyak 2,823 akaun menyamar telah dikenakan tindakan oleh SKMM bagi tempoh tahun lalu sehingga bulan ini dan daripada jumlah itu, sebanyak 80 peratus sudah dipadam selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua tindakan ini diambil selaras dengan aduan orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan, berpandukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkarnain, SKMM juga telah melaksanakan program seperti ‘Klik Dengan Bijak’ (KDB) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penggunaan internet secara berhemah.

“Sehingga kini, program KDB sudah mencapai lebih lima juta pengguna sejak ia mula diperkenalkan pada 2012. Ketika ini tahap penggunaan internet dalam kalangan rakyat Malaysia juga adalah tinggi iaitu melibatkan sebanyak 28.7 juta orang,” katanya.

Bagi memastikan masalah penyamaran dapat dibendung dengan lebih berkesan, Zulkarnain berharap pengguna yang menjadi mangsa dapat melaporkan terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau SKMM.

“Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa mengamalkan kawal selia kendiri dan peka dengan pelbagai risiko semasa berada dalam talian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini