Sindiket edar dadah di Kedah tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket edar dadah di Kedah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN 1 Mac – Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif di Kedah dan Perlis selepas menahan lima lelaki termasuk ketuanya menerusi tiga serbuan di daerah ini, Alor Setar dan Pendang, awal pagi semalam.

Zulkifli Ali
Zulkifli Ali 

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Zulkifli Ali berkata dalam operasi 1 hingga 6 pagi itu polis turut merampas dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 29.1 kilogram bernilai RM474,660 daripada seorang suspek.

“Operasi menemukan 26.6 kg heroin serta 2.5 kg syabu di sebuah rumah milik seorang suspek di Kampung Sedaka, Yan. Turut dirampas empat buah kereta yang dianggarkan bernilai RM340,000 daripada kesemua suspek,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, di sini hari ini.

Menurutnya operasi tersebut adalah susulan risikan selama sebulan.

“Dipercayai seorang suspek berusia 30 tahun adalah ketua sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal turut mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit dadah sementara ujian urin pula mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Katanya kesemua suspek yang berusia 21 hingga 39 tahun terbabit direman seminggu sehingga 6 Mac bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN