SHAH ALAM – Taktik sindiket dadah yang kini beralih menawarkan pakej pelancongan sambil diberikan wang lumayan terbongkar selepas seorang juruteknik elektrik ditahan di balai pelepasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kelmarin.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, suspek berusia 51 tahun ditahan bersama 2.3 kilogram (kg) dadah jenis syabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, suspek didapati dalam keadaan mencurigakan menghala ke mesin pengimbas kastam di aras tiga bangunan KLIA 2 itu.
Katanya, pemeriksaan mendapati suspek mengikat dadah di bahagian kiri dan kanan pada paha dan betis.
“Siasatan awal mendapati suspek akan menaiki sebuah penerbangan menuju ke Korea.
“Suspek juga telah menerima upah sebanyak RM1,000 oleh sindiket daripada RM8,000 yang dijanjikan kepadanya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, dadah yang dirampas yang bernilai RM113,900 itu dipercayai untuk pasaran negara di Asia Timur.
Ujarnya, ini berikutan harga bagi 1kg syabu di negara Asia Timur mampu mencecah sehingga RM200,000 berbanding di negara ini hanya RM50,000.
“Hasil siasatan awal juga mendapati ini adalah kali kedua suspek menyeludup dadah dengan sebelum ini dia telah berjaya melakukannya juga dipercayai melalui laluan udara.
“Kita turut mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan aplikasi media sosial Facebook dan WeChat dengan dijanjikan tawaran melancong ke luar negara sambil membawa dadah serta upah yang lumayan,” katanya.
Jelas Noor Azam, semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah serta positif syabu.
“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula kelmarin dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE











