Simbol kejahatan Pablo Escobar dimusnahkan - Utusan Malaysia

Simbol kejahatan Pablo Escobar dimusnahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas 26 tahun kematian raja dadah terkenal dunia Pablo Escobar akhirnya bekas kubu yang juga tempat tinggalnya ketika menguasai perniagaan kokain di Medellin, Colombia diruntuhkan sepenuhnya.

Kubu raja dadah ini yang dikenali sebagai pangsapuri Monaco menyimpan banyak kisah gelap yang dilakukan oleh Escobar termasuk beberapa insiden pergaduhan dan pembunuhan antara kartel dadah serta pihak keselamatan.

Peristiwa yang paling diingati sehingga kini ialah percubaan membunuh Escobar dengan menggunakan bom kereta di Monaco oleh pesaingnya iaitu kartel Cali pada tahun 1987. Bagaimanapun, Escobar tiada ketika kejadian. Peristiwa itu telah mengorbankan dua pengawal dan menyebabkan kemusnahan besar di sekitar kawasan tersebut. Sejak kejadian tersebut, Escobar dan keluarganya berpindah ke kawasan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerja-kerja merobohkannya disaksikan kira-kira 1,600 orang awam terutamanya ahli keluarga mangsa Escobar yang mengundang pelbagai emosi berbeza. Ada yang menangis dan ada yang gembira apabila bangunan yang digelar sebagai simbol ‘kejahatan’ oleh Datuk Bandar Medellin, Federico Gutierrez dimusnahkan.

PENJENAYAH PALING KAYA

Lahir di Rionegro, Antioquia pada 1 Disember 1949, Escobar atau nama sebenarnya Pablo Emilio Escobar Gaviria merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik kepada pasangan Abel de Jesus Dari Escobar Echeverri dan Hemilda de los Dolores Gaviria Berrio.

Escobar mula terjebak dalam dunia jenayah ini sekitar tahun 1970-an melalui kerjasama bersama penjenayah lain dengan mewujudkan kartel Medellin.

Ketika zaman kekuasaannya menguasai kartel ini, dia mengawal lebih 80 peratus penyeludupan dadah jenis kokain ke Amerika Syarikat (AS). Dianggarkan lebih daripada 15 tan kokain diseludup masuk ke AS setiap hari yang memberikan pulangan sebanyak AS$420 juta (RM1.7 bilion) seminggu atau bersamaan AS$22 bilion atau RM88 bilion setahun.

Kekayaaan yang melampau ini menyebabkan dia diiktiraf sebagai antara 10 manusia paling kaya di dunia oleh majalah Forbes dengan aset terkumpul kira-kira AS$3 bilion (RM11 bilion) selama tujuh tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1993.

TERLIBAT POLITIK

Pada 1982, Escobar mula menceburkan diri dalam kancah politik apabila dilantik sebagai ahli kongres Colombia, penglibatannya ini memberikan ruang lebih besar bagi memudahkan urusan perniagaan kokainnya.

Bagaimanapun, penglibatannya dalam dunia politik hanya bertahan selama dua tahun, Menteri Keadilan Colombia ketika itu, Rodrigo Lara telah mendesak Escobar meletak jawatan selepas latar belakangnya sebagai pengedar dadah dan penjenayah didedahkan kepada umum.

Malangnya, Lara kemudiannya ditembak mati pada 30 April 1984 dipercayai atas arahan Escobar selepas dia berang kehilangan jawatan tersebut dan banyak aset miliknya dibekukan kerajaan.

MATI DIBUNUH

Selepas berpuluh-puluh tahun berkuasa, akhirnya penjenayah yang paling dikehendaki ini ditembak mati oleh pasukan khas yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa Colombia dengan sokongan AS semasa operasi antidadah pada 2 Disember 1993, sehari selepas sambutan ulang tahun ke-44 dia di kawasan kejiranan Medellin.

Kumpulan ini yang diberi nama The Pepes atau singkatan kepada rakyat yang disiksa oleh Pablo Escobar turut dianggotai oleh bekas pekerja Escobar yang berang terhadapnya.

Selepas kematiannya, keadaan di Medellin menjadi tidak terkawal. Semua ahli kartel mahu menjadi ketua. Bunyi tembakan dan bom kedengaran di sekitar penempatan Medellin sehingga pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan perintah darurat.

DIANGGAP MANUSIA MULIA

Namun begitu, dalam kalangan orang awam pula, ramai yang terkejut dan menangisi pemergiannya. Dianggarkan kira-kira 25,000 orang awam hadir ketika majlis pengebumian Escobar.

Di sebalik gelaran ‘Raja Dadah’, Escobar telah mencipta populariti tersendiri apabila terlibat dalam menaja banyak projek kebajikan dan kelab bola sepak.

JELAJAH NARCOS

Bagi mengenang pengaruh dan sejarahnya suatu ketika dahulu, terdapat pihak yang membuat pakej pelancongan jelajah Narcos dengan melawat beberapa tempat yang mempunyai hubung kait dengan Escobar antaranya lokasi dia dibunuh, kubur, ladang ternak, La Catedral iaitu tempat dia pernah dipenjara dan bangunan Monaco.

Bagaimanapun, jelajah pelancongan ini mendapat kecaman banyak pihak yang bimbang dengan pengaruh negatif yang pernah menyelubungi kawasan ini. Bantahan demi bantahan, akhirnya menyebabkan kerajaan memutuskan untuk meruntuhkan bangunan Monaco.

Menurut Presiden Colombia, Ivan Duque, pihaknya berhasrat membina taman dan muzium memorial bagi menggantikan runtuhan bangunan tersebut sebagai peringatan kepada generasi muda tentang kekejaman Escobar dan pengajaran supaya jenayah ini dijadikan teladan di masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini