KUALA LUMPUR 15 Mac – Serba Dinamik Holdings Bhd. (Serba Dinamik) bercadang untuk membeli tanah seluas 1.62 hektar di Lumut, Perak dengan nilai RM8 juta.
Tanah tersebut merupakan tapak untuk cadangan kemudahan infrastruktur pengedaran gas asli cecair dalam pesisir.
Serba Dinamik dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuh, Serba Dinamik Sdn. Bhd. (SDSB) telah menandatangani perjanjian untuk membeli seluruh kepentingan ekuiti dalam SG Rek Sdn. Bhd. (SGR) yang memiliki tanah itu daripada Mohamed Yusoff Ghazali dan Norshahida Mohd Arshad.
Syarikat itu berkata, SDSB telah diberikan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian untuk membina kemudahan tersebut pada 31 Oktober tahun lepas.
“Pembelian itu akan dibiayai sepenuhnya secara tunai dan dana dalaman,” katanya di sini hari ini.
Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka pembelian itu dijangka selesai pada suku kedua 2019. – BERNAMA











