LONDON 4 Mac – Danny Rose mendedahkan Mauricio Pochettino memberikan kata-kata semangat luar biasa kepada pemain Tottenham pada waktu rehat semasa aksi menentang Arsenal dan membuatkan dia merasakan dirinya ‘akan pergi berperang’.
Arsenal mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Aaron Ramsey tetapi Spurs berjaya bangkit dengan penuh dramatik menerusi sepakan penalti Harry Kane di Stadium Wembley.
Penjaga gol Spurs, Hugo Lloris berjaya menyelamatkan sepakan penalti Pierre-Emerick Aubameyang bagi memastikan perlawanan berkesudahan seri 1-1 dan Rose memberi pujian kepada kata-kata semangat yang diberikan Pochettino.
“Pengurus bercakap mengenai sesuatu pada waktu rehat dan ia menjadi titik perubahan kepada kami kerana selalunya dia merupakan seorang yang sangat tenang.
“Memang selalu dia akan memperkatakan sesuatu semasa waktu rehat tetapi kali ini seperti kami akan pergi berperang.
“Ini adalah antara perkara terbaik yang pernah saya saksikan dalam bola sepak dan kami terus bermain dengan cara yang diinginkan pada separuh masa kedua.
“Selalunya dia berada dalam keadaan tenang tetapi kali ini dia sangat bersemangat,” katanya.-AGENSI










