KUALA KANGSAR 3 Mac – Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur) merangkul kejuaraan sulung Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7 Sebelah 2019 di sini, hari ini.
Lebih membanggakan, Semashur muncul juara dengan mengalahkan tuan rumah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 24-10, seterusnya menebus kekalahan di tangan lawan sama enam tahun lalu.
Dalam perlawanan akhir, Semashur memperoleh empat try masing-masing disempurnakan Farhan Haziq Asyraf Johan, Adam Faiq Kamarul Zaman, Hariz Ezzat Hamidon dan Muhammad Najmuddin Nor Hisham selain dua conversion yang disudahkan Hariz Ezzat.
Sementara itu, pasukan tuan rumah sekadar berjaya memperoleh dua try melalui Ahmad Zaril Hariz Mohd Nazaruddin dan Muhammad Harithshah Kaharudin.
Jurulatih Semashur, Mohd. Soleh Abdul Hamid menyifatkan disiplin tinggi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang permainan kunci utama kemenangan selepas hampir enam bulan mengadakan persiapan rapi.
“Saya juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami dalam memastikan sasaran muncul juara pada kejohanan kali ini berjaya dicapai,” katanya kepada pemberita.
Sekolah Menengah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor berpuas hati di tangga ketiga selepas menewaskan Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya 21-12.
Dada perlawanan akhir kategori Plate, Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), Johor menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdullah Wahab (SHOAW), Sarawak 24-15 untuk dinobat selaku juara.
Bagi kategori Shield, pasukan jemputan, Shizuoka Seiko Academy dari Jepun muncul juara selepas menewaskan Sekolah Menengah King Edward VII, Perak 19-14.
Kategori Bowl pula menyaksikan kejuaraan menjadi milik Sekolah Tunku Abdul Rahman, Perak setelah menundukkan Sekolah Menengah Kebangsaan Abi, Perlis 25-5.
Kejohanan selama tiga hari itu turut menerima kunjungan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa yang turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. – BERNAMA









