JOHOR BAHRU 12 Mac – Kementerian Pendidikan sedia memberi arahan penutupan sekolah-sekolah yang berada di sekitar kawasan Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang tercemar dengan pembuangan bahan toksik pada khamis lalu.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, arahan tersebut akan dikeluarkan selepas beliau mendapat taklimat daripada jawatankuasa tindakan berhubung bencana pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim pada hari ini.
“Kita akan mendengar nasihat daripada jawatankuasa tindakan dan sekiranya perlu penutupan sekolah di kawasan yang terjejas, kita akan tutup sekolah terbabit.
Berita berkaitan:
“Sekolah akan ditutup sehingga kita menerima laporan yang menyatakan kawasan terbabit selamat untuk sekolah dibuka,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sebentar tadi.
Maszlee berkata, sejak kejadian pencemaran, empat buah sekolah diarahkan tutup oleh Jabatan Pendidikan negeri selepas kejadian pencemaran terbabit berlaku sejak Khamis lalu.
“Setakat ini, saya masih belum mampu untuk mengesahkan berapa banyak sekolah yang terlibat di kawasan yang terjejas dan kita akan maklumkan penutupan selepas saya dengar taklimat,” katanya.
Empat buah sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort. – UTUSAN ONLINE











