KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Bhd. (SDPB) dijangka mampu mencatatkan keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019 setelah memuktamadkan pelupusan aset hospitalitinya di Singapura, Darby Park Executive Suites awal tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pihaknya akan terus melaksanakan aktiviti pelupusan aset bukan teras dalam usaha memaksimumkan modal syarikat untuk kegunaan yang lebih baik dan membawa keuntungan pada masa hadapan.
“Pelupusan aset di Singapura itu telah dimuktamadkan pada 31 Januari lalu, justeru kami menjangkakan ia bakal menjadi penyumbang utama terhadap prestasi positif bagi suku pertama tahun kewangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pengumuman keputusan kewangan bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2018 di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara di sini semalam.
Konglomerat hartanah itu bersetuju untuk melupuskan aset tersebut pada nilai S$93 juta (RM280 juta) dan telah menukar tahun kewangannya dari berakhir 30 Jun kepada 31 Disember.
Sementara itu, menurut Amrin, syarikat kini memberi fokus untuk mengembangkan segmen perniagaan dengan meneroka bidang baharu seperti membangunkan hartanah perindustrian dan logistik berbanding cabang kediaman dan jualan hartanah ketika ini.
Jelasnya, hala tuju baharu tersebut ditetapkan selepas melihat kepada permintaan yang memberangsangkan terhadap segmen berkenaan.
“Kami kini terus meninjau kerjasama strategik sebagai sebahagian daripada pelan untuk membangunkan lagi hartanah perindustrian dan logistik yang akan menjadi pembangunan pemangkin kepada perbandaran Sime Darby Property.
“Ia sebagai usaha mempelbagai dan meningkatkan pendapatan berulang syarikat dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
SDPB kini bekerjasama dengan Mitsui&Co. dan Mitsubishi Estate Co. Ltd. dari Jepun untuk membangunkan taman perindustrian terurus di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor.
Kumpulan itu turut dijangka memulakan operasi pusat beli-belah baharu, iaitu Galleria, KL East pada suku keempat tahun ini yang akan menambah kepada portfolio pelaburan sedia ada dan menyokong pertumbuhan pendapatan berulang.
Prestasi SDPB merosot dengan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM318.70 juta bagi tempoh kewangan enam bulan berakhir 31 Disember 2018 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM559.77 juta yang dicatatkan pada 2017.











