MINGGU lalu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) meraikan sambutan Jubli Perak MBJB 1994-2019 di Bandaraya Johor Bahru dari Khamis lalu hingga kelmarin.
Fiesta MBJB 2019 selama empat hari itu diisikan dengan pelbagai program. Bandaraya Johor Bahru diangkat menjadi status bandar raya pada 1 Januari 1994 dan merupakan bandar raya ketiga selepas Kuala Lumpur dan Singapura.
Ini bermakna sudah 25 tahun Johor Bahru menjadi sebuah bandar raya dan sepanjang tempoh suku abad itu pelbagai kejayaan ditempa. Semua kecemerlangan itu tidak boleh dinafikan peranan dimainkan MBJB selepas menjadi majlis bandar raya daripada sebuah majlis perbandaran.
Fungsi MBJB sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak kerajaan tempatan ketiga selepas Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat dinamik terutama dalam membangunkan infrastruktur bandar raya, merangsang pertumbuhan ekonomi bandar raya dan menyediakan kemudahan awam berkelas dunia termasuk pembangunan sosio ekonomi serta taraf hidup.
Dalam hal ini, visi MBJB adalah tepat iaitu untuk menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa, berbudaya dan lestari termasuk merancang menjadi sebuah kota metropolis yang kosmopolitan pada masa depan.
Boleh dilihat semua kemajuan dan tuntutan sebagai sebuah bandar raya telah dan sedang dibangunkan secara fizikal. Sudah sampai masanya tahap kemanusiaan, elemen manusiawi dan sumber manusia pula diberikan perhatian supaya mendapat satu keseimbangan terutama roh atau jiwa manusia yang menjadi penghuni kota abad milenium ini.
Ini kerana tanda aras kemajuan sesebuah bandar raya bukan lagi diukur dengan jumlah bangunan pencakar langit, jarak jaringan jalan raya atau nilai harga teknologi digunakan dalam kehidupan seharian atau membangunkan bandar raya.
Sebaliknya pengukuran kemajuan sesebuah bandar raya kini berkait rapat dengan taraf hidup masyarakatnya seperti tahap inklusif anggota masyarakat, transformasi struktur governans dan kadar pembangunan kawasan urban yang mapan.
Ini termasuk kesejahteraan bandar raya, kelestarian alam sekitar, tahap keselamatan insan dan hak asasi manusia dipenuhi apatah lagi tuntutan penghuni kota kini bertambah kompleks.
Semua itu digariskan dalam Agenda Urban Baharu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).











