KUALA LUMPUR 1 Mac – Saham Brahim’s Holding Bhd. (Brahim’s) jatuh 51.22 peratus setakat pukul 12 tengahari selepas syarikat itu tersenarai ke dalam status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) susulan ekuiti pemegang sahamnya jatuh di bawah paras 25 peratus.
Pada pukul 12 tengahari saham Brahim’s jatuh 10 sen ke paras 10.5 sen. Ia dibuka pada 14 sen pagi ini. Saham syarikat berkenaan sebelum ini ditutup pada 20.5 sen pada Khamis.
Penyedia perkhidmatan katering itu berkata, ia kini merupakan syarikat tersenarai yang terjejas dan berhadapan risiko dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.
“Berdasarkan keputusan kewangan belum diaudit Brahim’s untuk suku keempat berakhir 31 Disember 2018, ekuiti pemegang saham syarikat pada dasar yang disatukan bernilai kurang daripada RM40 juta atau mewakili 25 peratus atau kurang daripada modal terbitannya.
“Oleh itu, Brahim’s sekarang dianggap sebagai syarikat PN17,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini semalam.
Brahim’s berkata, syarikat mempunyai tempoh masa 12 bulan dari sekarang untuk menyerahkan pelan regularisasi kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan melaksanakannya dalam jangka masa yang ditetapkan oleh SC atau Bursa Securities. – UTUSAN ONLINE











