Runding dengan bank jika hadapi kesukaran bayar balik hutang - Utusan Malaysia

Runding dengan bank jika hadapi kesukaran bayar balik hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Mac – Pelanggan bank yang menghadapi kesulitan untuk membayar pinjaman dinasihati menghubungi bank mereka dengan segera, kata Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM).

Memuatkan artikel berkaitan…

ABM dalam kenyataannya berkata, pelanggan wajar berunding dengan bank masing-masing untuk membincangkan pilihan dan pengurusan pembayaran balik seperti penyusunan semula hutang atau pembiayaan semula.

“Institusi kewangan juga memainkan peranan penting dengan menghubungi peminjam dengan segera apabila mengesan tanda-tanda kesukaran pembayaran balik bagi menyediakan pilihan pembayaran balik alternatif,” katanya, semalam.

ABM berkata, perkara penting yang harus diberi perhatian ialah penarafan kredit terhadap seorang peminjam mungkin akan terjejas sekiranya dikategorikan sebagai peminjam yang gagal membayar hutang.

“Oleh itu, penting bagi peminjam yang gagal membayar hutang supaya berunding dengan bank mereka untuk merangka pelan pembayaran balik alternatif sebelum tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka.

“Tindakan undang-undang terhadap peminjam yang disenarai hitam hanya boleh dilaksanakan setelah pelbagai usaha untuk menyelesaikan pembayaran balik hutang tersebut gagal,” katanya. 

ABM berkata, pelanggan bank yang tidak berpuas hati dengan keputusan institusi kewangan boleh merujuk perkara tersebut kepada Pusat Perhubungan Pelanggan Bank Negara Malaysia (BNMTELELINK).

“Mereka juga boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan khidmat bantuan menerusi kaunseling kewangan dan penstrukturan semula pembayaran melalui pelan pengurusan hutang,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN