TURIN 13 Mac – Cristiano Ronaldo membuatkan air mata kekasihnya gugur selepas penyerang sensasi itu membantu Juventus mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan menumbangkan Atletico Madrid menerusi gol hatrik, hari ini.
Bintang Portugal itu, yang kini dalam pemburuan trofi Liga Juara-Juara buat kali keempat, meledak hatrik untuk Juventus bangkit daripada ketinggalan defisit dua gol pada aksi kedua hari ini, sekali gus menang dengan agregat 3-2.
Kekasihnya, Georgina Rodriguez gagal menahan emosi dan air mata kegembiraan apabila Ronaldo melengkapkan hatrik ketika berada di tempat duduk di Stadium Allianz.
Anak sulung Ronaldo, Cristiano Junior turut dilihat meraikan jaringan bapanya itu.
Selepas tamat perlawanan Rodriguez memuat naik status di Instagram bagi memberi penghormatan kepada teman lelakinya atas kejayaan tersebut.
Pasangan tersebut turut mempunyai anak perepuan, Alana Martina, yang turut menjaga anak kembar Ronaldo, Eva dan Mateo.
“Tiada siapa yang menyangka 3-0. Anda berhak meraihnya, bukan untuk tiga gol malam ini.
“Anda berhak mendapatkannya sebagai dedikasi, di mana kelab yang anda berada. Anda menjadi inspirasi terhadap rakan sepasukan, jurulatih dan semua orang yang mengagumi dan menyokong anda setiap hari.
“Karma itu wujud. Tuhan tahu, jadi Tuhan anugerahkan kepada anda kerana dunia bola sepak milik anda. Kami sayang anda. Cristianito, Mateo, Eva, Alana, Georgina,” tulisnya.- AGENSI











