Rokok seludup dan ubat batuk dirampas - Utusan Malaysia

Rokok seludup dan ubat batuk dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT 6 Mac – Sebanyak 330 karton rokok seludup bernilai RM29,00 berjaya dirampas oleh polis daerah ini selepas menahan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Kuala Jambu dekat sini pada pukul 9.45 malam kelmarin.

Penahanan itu dilakukan oleh anggota kereta peronda (MPV) selepas mengesan kereta tersebut dalam keadaan mencurigakan ketika melaku rondaan di Wakaf Zin dekat Cabang Empat Tumpat .

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ab Rashid Mat Daud berkata, anggota MPV mengarahkan pemandu kerwta tersebut berhenti namun penyeludup terbabit terus memecut laju kenderaannya sehingga terpaksa dikejar sejauh lima kilometer.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, penyeludup itu telah memasuki satu lorong ke arah Kampung Kuala Jambu dan menemukan jalan mati.

“Seorang penyeludup telah bertindak agresif apabila merempuh kenderaan MPV polis secara mengundur ketika cuba ditahan.

“Penyeludup dipercayai seorang lelaki tempatan segera melarikan diri ke dalam semak dan berjaya lolos akibat keadaan gelap,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 330 karton rokok kretek jenis Gudang Garam dengan anggaran nilai sebanyak RM29,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Jelasnya, kes tersebut akan diserahkan kepada pihak kastam dan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1957.

Sementara itu dalam perkembangan sama, beliau memberitahu Bahagian Narkotik IPD Tumpat berjaya merampas 208 botol kodein bernilai RM2,080 selepas menahan dua suspek hasil serbuan ke sebuah rumah di Kampung Padang Rokma, di sini, pada jam 6.30 petang kelmarin.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 20 hingga 30-an yang juga positif Methamphitamine direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini