GUA MUSANG 28 Mac – Lembaga Getah Malaysia (LGM) memperuntukan sebanyak RM23 juta bagi membangunkan Projek Getah Untuk Pribumi (GUP) seluas 660 hektar di seluruh negara.
Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr. Zairossani Mohd. Nor berkata, setiap pekebun itu dijangka dapat menghasilkan purata pengeluaran susu getah 1,500 hingga 2,000 kilogram bagi satu hektar dalam tempoh setahun.
Katanya, projek itu juga mampu meningkatkan pendapatan pekebun antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan.
Jelasnya lagi, pihaknya akan memberi latihan kepada peserta tentang teknik penyelenggaraan, pembajaan dan pengurusan hasil ladang getah.
“Kita juga memperluaskan projek GUB kepada 76 pekebun getah Orang Asli pertama di Kelantan dan mereka bakal menerima pendapatan lebih tinggi apabila projek tanam getah kaedah dengan benih bermutu tinggi dijangka mengeluarkan hasil berperingkat tahun ini.
“Kaedah tanaman baru getah seluas 76 hektar dengan satu hektar bagi setiap seorang peserta Orang Asli itu dibuat di Pos Tuel di sini menggunakan getah klon kelas satu.
“Projek yang bermula sejak tahun 2013 itu dijangka mengeluarkan hasil sepenuhnya kepada masyarakat Orang Asli pada bulan Oktober ini,” katany kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Buka Toreh Projek Getah Untuk Pribumi (GUP) Kelantan di Pos Tuel, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan, Abdul Azziz Kadir.
Sementara itu, Zairossani berkata, LGM telah membuat pembayaran balik Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berjumlah RM128 juta kepada 450,000 pekebun kecil dan penoreh getah berdaftar di seluruh negara sehingga kini.
Katanya, bayaran IPG itu dibuat sejak tahun 2015 bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang bergantung dengan hasil getah.
“Pihak LGM sentiasa menggalakkan pekebun kecil memohon IPG kerana ianya dapat memastikan harga getah kekal pada tahap RM2.50 walaupun berlaku penurunan harga getah di pasaran.
“Pekebun kecil getah perlu memohon kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dengan LGM dahulu jika mahu membuat tuntutan IPG.
“Kita melihat harga getah ketika ini lebih baik berbanding dua tahun lepas selepas IPG dapat mengekalkan harga getah kepada RM2.50 sekilogram, walaupun harga pada peringkat ladang lebih rendah,” katanya. -UTUSAN ONLINE











