Ringgit dibuka pada paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan - Utusan Malaysia

Ringgit dibuka pada paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Mac – Ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat susulan pengumuman Rizab Persekutuan AS untuk tidak menaikkan kadar faedah tahun ini.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0540/0580 berbanding dolar daripada 4.0650/0690 pada penutupan Rabu.

Maybank Kim Eng Research berkata isyarat mengenai pengekalan kadar faedah oleh Fed untuk tempoh yang lama, melemahkan dolar kerana langkah itu menunjukkan risiko ke atas unjuran mereka walaupun ekonomi domestik bergerak perlahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell dilaporkan berkata bahawa kadar faedah mungkin bertahan untuk ‘beberapa waktu’ ekoran risiko global menjejaskan prospek ekonomi manakala inflasi masih tidak berubah.

Sementara itu, seorang peniaga lain berkata selain tiada perubahan dalam kadar faedah, rundingan perdagangan antara AS dan China tidak berlangsung dengan baik, sekali gus menjejaskan dolar dan yuan.

“Presiden AS Donald Trump berkata beliau akan mengekalkan tarif ke atas China sehingga beliau yakin Beijing mematuhi semua perjanjian perdagangan, menjejaskan harapan bahawa kedua-dua negara akan bersetuju untuk meneruskan perdamaian,” katanya kepada Bernama.

Dalam negara, beliau berkata kenaikan harga semalaman penanda aras Brent kepada AS$68.20 pada 9 pagi, turut meningkatkan prestasi ringgit.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.6618/6664 daripada 3.6441/6487 dan rendah berbanding euro kepada 4.6329/6379 daripada 4.6130/6187 pada hari Rabu.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound British kepada 5.3574/3643 daripada 5.3756/3829 namun merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0101/0149 daripada 3.0080/0121 semalam. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini