MENDAKI gunung pada asalnya sekadar hobi, namun oleh kerana minat yang mendalam aktiviti lasak itu akhirnya menjadi punca rezeki kepada Mohd. Faizal Mohamad Asri, 33.
Hampir 10 tahun bergelar jurupandu alam semula jadi atau malim gunung, Mohd. Faizal atau lebih mesra disapa Ja Mizal tidak asing lagi dalam dunia rekreasi atau pendakian gunung.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang kini menetap di Grik, Perak, dia mula menceburkan diri dalam aktiviti mendaki gunung ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2006.
Melalui penyertaannya dalam Kelab Rekreasi UiTM (Kresma), Mohd. Faizal menimba banyak ilmu dan pengalaman dalam dunia rekreasi terutama aktiviti mendaki gunung.
Dia juga melibatkan diri dengan komuniti pendaki gunung yang lain seperti Gunung Online dan Silver Outdoor Sports (SOS) bagi mempelajari lebih mendalam selok-belok pendakian gunung terutama di Malaysia.
“Mula-mula memang hobi, tetapi lama-kelamaan aktiviti mendaki gunung ini tidak boleh dipisahkan dari jiwa saya.
“Ekoran itu pada 2009 saya membuat keputusan untuk serius dalam bidang ini dengan mengambil kursus jurupandu alam semula jadi kelolaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.
Mengulas mengenai skop kerja sebagai seorang malim gunung, Mohd. Faizal berkata, tugasnya bukan sahaja menunjuk arah, tetapi juga harus memastikan keselamatan pendaki terjamin.
Dalam masa sama ahli Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM) itu turut memberi pemahaman kepada pendaki terutama dari segi persediaan untuk menyertai sesuatu ekspedisi.
“Saya juga berkongsi ilmu mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam semula jadi, keperluan mendalami ilmu hutan dan memberikan kesedaran kepada mereka bahawa hutan adalah khazanah berharga yang perlu dijaga.
“Sebab itu bukan mudah untuk menjadi malim gunung. Selain ilmu mendaki itu, seorang malim gunung mesti memiliki ilmu-ilmu lain seperti ilmu hutan, kelangsungan hidup, pertolongan cemas dan sebagainya,” katanya.
Sepanjang bergelar malim gunung, cabaran utama yang perlu dihadapi Mohd. Faizal adalah ketika terpaksa berjauhan dengan keluarga lebih-lebih lagi apabila melibatkan tempoh ekspedisi yang panjang.
Selain itu, dia juga perlu sentiasa mengemas kini ilmu-ilmu terkini bagi memastikan komunikasi dengan pelanggan berjalan baik sekali gus memperlihatkan kewibawaan terhadap pelanggan yang menaruh keyakinan terhadapnya.
“Adalah penting untuk memastikan pelanggan yakin dengan kita (malim gunung) kerana dalam ekspedisi kita mahu mereka mendengar dan mengikut arahan yang diberikan.
“Saya juga perlu berdepan cabaran melayan kerenah pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada dari dalam mahu pun luar negara.
“Sudah tentu objektif utama pelanggan adalah untuk tiba di puncak. Sebagai malim gunung, kita akan cuba yang terbaik untuk memastikan objektif itu tercapai, tetapi dalam masa sama tidak boleh mengabaikan aspek keselamatan,” katanya.
Menurut Mohd. Faizal, kerjaya sebagai seorang malim gunung mungkin tidak memberi pulangan yang lumayan, namun mempunyai keistimewaan tersendiri buat individu sepertinya yang cintakan alam semula jadi.
“Pendapatan seorang malim gunung tidak tetap. Kekerapan mendapat peluang tidak menentu, ada kala seminggu sekali, ada juga sebulan hanya sekali. Jumlah yang diterima pula bergantung pada skop kerja. Selain malim gunung, saya juga menerima upah sebagai fasilitator dan kru sokongan.
“Walaupun tidak lumayan, namun saya masih meneruskan kerjaya ini kerana industri rekreasi tidak ada sempadan. Saya berpeluang mempelajari pelbagai aspek tentang manusia, alam semula jadi dan pengurusan,” ujarnya.











