SAUDARA PENGARANG,
TAHUKAH anda sesiapa yang ingin mengambil anak angkat perlu melalui pelbagai prosedur daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)?
Mengikut Seksyen 6(1) Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253), anak angkat didefinisikan sebagai anak yang dalam jagaan dan dipelihara serta dididik oleh seseorang atau pasangan sebagai anaknya yang berterusan atau anak mereka secara anak angkat ‘de facto’ selama dua tahun.
Sekiranya pemeliharaannya atau penjagaannya kurang daripada dua tahun, anak ini digelar anak pelihara.
Permohonan boleh dibuat secara atas talian dengan melayari laman web JKM atau hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/jajahan (PKMD/J) di tempat pemohon bermastautin atau menetap.
Pemohon dan ibu kandung perlu membuat akuan bersumpah di hadapan pesuruhjaya sumpah dalam Borang JPN.AA07 Surat Keizinan Pengangkatan dan perlu ke JKM bersama. JKM akan mengeluar Borang 13 Akta Kanak-Kanak 2001 [Perenggan 35(3)(b)/ Perenggan 37 (5)(b)] Kebenaran Pengambilan Kanak-kanak.
Seterusnya, pemohon dan anak pelihara perlu menghadirkan diri ke JKM untuk seliaan setiap tiga bulan dalam tempoh dua tahun penjagaan.
Setelah tempoh dua tahun, barulah proses permohonan pendaftaran pengangkatan dibuat di JPN. Akhirnya, barulah Sijil Anak Angkat yang dikenali sebagai ‘Salinan Yang Diperakui Bagi Catitan Dalam Daftar’ (Am 233) dikeluar untuk kanak-kanak bagi mengganti Sijil Kelahiran.
Mereka yang ingin mengambil anak angkat secara peribadi dan bukan melalui JKM atau NGO supaya berhati-hati
NOORASHIEKIN KHALID
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang











