Kajian mendapati tidak ramai ibu bapa atau penjaga tahu tentang cara-cara melakukan bantuan kecemasan apabila berdepan situasi antaranya tersedak susu, choking atau tercekik makanan atau mainan, lemas, luka pendarahan, luka melecur dan sawan.
Menurut Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Selayang, Dr. Noriani Daud, kadar kematian dan komplikasi serius melibatkan kejadian tersebut boleh dikurangkan sekiranya bantuan kecemasan dapat dilakukan segera.
Namun disebabkan cemas katanya, sebahagian besar ibu bapa atau penjaga panik dan membawa terus mangsa ke hospital tanpa memulakan rawatan awal yang mampu menyelamatkan mereka kerana kurangnya pengetahuan dalam rawatan awal kecemasan.
“Apabila berdepan dengan situasi kecemasan, perkara paling penting ialah kira tidak harus panik atau cemas, perlu bertenang dan minta bantuan dengan segera ,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Dr. Noriani, ibu bapa dan penjaga juga perlu sentiasa peka dengan keadaan dalam rumah yang boleh mendedahkan ahli keluarga kepada bahaya selain berusaha mempelajari teknik asas bantuan kecemasan seperti bantuan pernafasan atau kardiopulmonari pernafasan (CPR).
Justeru beliau menyenaraikan langkah-langkah awal rawatan kecemasan;
- Jangan panik dan cemas. Alihkan mangsa ke tempat yang selamat dan jauhkan daripada sebarang bahaya yang berdekatan. Tidak melakukan tindakan melulu dan segera menghubungi talian kecemasan.
- Jika tertusuk benda tajam dan objek masih ada, jangan cuba cabut atau mengerakkan objek tersebut kerana ia akan menyebabkan kecederaan dalaman yang lebih serius. Sebaliknya dalam perubatan kecemasan, apa yang perlu dilakukan, gunakan kain yang bersih dan buat sejenis balutan berbentuk ‘donut’ untuk menstabilkan objek. Ini kerana terdapat organ dalaman seperti paru-paru, jantung, limpa, buah pinggang dan salur-salur darah utama seperti aorta (arteri paling besar dalam tubuh) yang boleh mengalami pendarahan yang parah.Namun jika objek tajam sudah tiada, balut luka dengan bandage atau kain bersih untuk menghentikan pendarahan, jika ada.
- Luka pendarahan akibat terjatuh pula boleh dihentikan dengan membuat balutan dan compression bandage tetapi jika pendarahan tidak berhenti, lakukan tekanan atas luka (direct pressure) yang telah dibalut untuk menghentikan pendarahan. Bagaimanapun jika pendarahan berterusan, lakukan tekanan tidak langsung (indirect pressure) atas titik tekanan arteri atau lakukan ikatan yang tidak terlalu ketat dan segera ke hospital berdekatan bagi menghentikan pendarahan. Angkat bahagian luka yang berdarah menentang arah graviti bagi memudahkan proses pembekuan darah sekali gus menghentikan pendarahan.
- Bagi kes-kes yang mengalami luka melecur pada anggota badan seperti terkena air panas, api, arus elektrik atau rokok, adalah penting menjauhkan mangsa daripada punca kebakaran. Tanggalkan pakaian untuk elakkan kain melekat pada kulit. Jangan sapu sebarang ubat gigi atau bahan di atas luka melecur. Alirkan air dalam kuantiti yang banyak antara 20 minit sehingga 30 minit dan jangan cuba pecahkan blister atau gelembung cecair yang terbentuk pada permukaan kulit kerana berisiko mendapat jangkitan kuman.
- Bagi kes tersedak susu yang biasanya berlaku terhadap bayi yang berumur kurang daripada setahun, langkah pencegahan adalah lebih baik dengan meletakkan bayi dalam posisi yang selamat, cara penyusuan yang betul dan tidak meninggalkan bayi tanpa pengawasan.
- Jika kanak-kanak yang mengalami choking atau tercekik mainan masih sedar, jangan cuba untuk mengeluarkan objek kerana mungkin tindakan itu akan menolak objek berkenaan lebih dalam. Sebaliknya minta mangsa batuk bagi mengeluarkan objek yang tersangkut, namun jika masih gagal. Lakukan rawatan awal dengan menekan bahagian tengah dada dan belakang sebanyak lima kali untuk bayi di bawah umur setahun dan tekan perut (manuver heimlich) bagi orang dewasa. Jika mangsa tidak sedarkan diri, segera dapatkan bantuan kecemasan dan lakukan CPR sehingga bantuan tiba.
- Jika kanak-kanak terjatuh dari tempat tinggi seperti buaian, kerusi atau katil, perhatikan sama ada mangsa menunjukkan tanda-tanda gegaran atau pendarahan otak seperti kurang tahap sedar, tidak aktif, muntah yang berlarutan dan sawan. Segera dapatkan rawatan lanjut di hospital jika terdapat tanda-tanda tersebut.
- Sawan pula boleh terjadi jika kanak-kanak mengalami demam panas. Mangsa perlu diletakkan ke posisi mengiring dan jangan masukkan sebarang objek dalam mulut mangsa seperti sudu atau kain bagi menghentikan sawan.
- Sentiasa bersedia dan menyimpan ais di rumah kerana ia boleh digunakan untuk mengurangkan bengkak akibat terjatuh.











