Rasuah: ASP didakwa terima RM1.35 juta - Utusan Malaysia

Rasuah: ASP didakwa terima RM1.35 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mac – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM 1.35 juta, dua tahun lalu.

Gan Chee Liang, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut semua pertuduhan, beliau secara rasuah telah menerima daripada Lim Chok Siong, 41, dan Yeong Kok Wah, 51 wang berjumlah RM1.35 juta untuk dirinya yang ketika itu merupakan Penguasa Polis Diraja Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wang berkenaan didakwa diterima tertuduh sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes Victor Goh yang terlibat dengan kes berkaitan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di tiga lokasi di Jalan Bypass Bangsar, Bangsar; papan tanda stesyen minyak BHP, Jalan Bunga Mawar, Taman Muda, Ampang; di sebuah bilik di tingkat 4, Holiday Palace Reflexology, Jalan Changkat Thambi Dollah, Pudu 29 Mac hingga 13 Jun 2017.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Nidzam Wan Omar mengemukakan semua pertuduhan itu mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda yang boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding tersebut, tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini