KUALA LUMPUR 9 Mac – Dua situasi berbeza dihadapi skuad basikal trek lelaki negara apabila kedudukan terbaharu yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) menyaksikan ranking Azizulhasni dalam keirin naik manakala trio pecut berpasukan turun.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu kini melonjak ke ranking kedua keirin dunia berbanding di tangga keempat sebelum berlangsungnya Kejohanan Basikal Trek Dunia di Pruszkow, Poland minggu lalu.
Ini hasil kejayaannya layak ke separuh akhir dan menduduki tempat ketujuh keseluruhan.

Azizulhasni kini hanya ketinggalan 125 mata di belakang pelumba ranking No. 1 dunia ketika ini, Yudai Nitta dari Jepun yang mengumpul 2,610 mata.
Azizulhasni berpeluang memperbaiki ranking dunianya untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun sehingga Februari tahun depan menerusi penyertaannya dalam kejohanan peringkat Asia, Siri Piala Dunia sepanjang tahun ini dan kejohanan dunia sekali lagi tahun depan.
Bagaimanapun kegagalan melepasi pusingan kelayakan acara 200 meter pecut di Pruszkow menyaksikan kedudukan Azizulhasni jatuh satu anak tangga daripada ranking ke-21 ke ranking 22 dunia.
Dalam ranking Olimpik pecut berpasukan menyaksikan trio negara turun satu anak tangga dari tempat ke-13 ke-14 selepas menduduki tempat kedua tercorot dalam pusingan kelayakan di Pruszkow.
Trio pecut bagaimanapun masih berpeluang layak ke Tokyo 2020 jika menempatkan diri dalam kelompok lapan teratas dalam ranking Olimpik UCI bukannya ranking dunia.











