PETALING JAYA: Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 bakal memanfaatkan lebih empat juta pekerja dalam negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.
Katanya, kerajaan turut memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai gaji permulaan supaya upah lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran pekerja.
“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi memberikan perincian lebih jelas mengenai mekanisme pelaksanaan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ramanan berkata, beliau menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meningkatkan penanda aras gaji sara hidup daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan, melibatkan 230,000 pekerja.
Oleh itu, beliau menyeru majikan swasta supaya turut menawarkan gaji lebih wajar, seiring dengan produktiviti dan sumbangan pekerja.
Bagi pekerja gig pula, Ramanan berkata, pakej pembiayaan bersama kerajaan dan Grab bernilai RM160 juta bermula 2027 akan membantu meningkatkan pendapatan bersih serta kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing.
“Pakej ini meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2027 kelmarin mengumumkan beberapa inisiatif termasuk peningkatan gaji minimum, kebajikan pekerja gig dan peluang latihan yang memenuhi keperluan industri.
Selain bantuan itu, Ramanan berkata, Majlis Perundingan Gig sedang merundingkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial pekerja gig untuk dimuktamadkan pada awal 2027.
Menurutnya, kadar pendapatan perlu mengambil kira masa bekerja dan kos sebenar pelaksanaan tugasan bagi memastikan pekerja gig memperoleh pendapatan bersih yang lebih wajar dan mampan.
Ramanan berkata, pembangunan kemahiran turut diberi perhatian menerusi peruntukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) rentas kementerian sebanyak RM8 bilion.
Katanya, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan dana levi RM3 bilion akan menyokong tiga juta peluang latihan.
“Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan RM500 juta bagi membiayai pelatih di institusi latihan kemahiran awam dan swasta yang berdaftar dengannya.
“Keutamaan Kesuma memastikan peningkatan gaji disokong kemahiran yang relevan dan perlindungan sosial lebih baik,” katanya. – UTUSAN











