MADRID 1 Mac – Kapten Real Madrid, Sergio Ramos dikenakan penggantungan tambahan satu perlawanan bagi Liga Juara-Juara selepas didapati sengaja melakukan provokasi untuk mendapatkan kad kuning bagi mengawal tempoh penggantungan satu perlawanan.
Jawatankuasa disiplin UEFA mendapati, Ramos bersalah kerana sengaja melakukan tindakan bagi mendapatkan kad kuning ketika menentang Ajax, dua minggu lalu.
Keputusan itu menyaksikan dia akan terlepas aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara sekiranya Madrid berjaya melepasi pusingan kalah mati.
Pertahanan Sepanyol itu dikenakan kad kuning pada minit ke-90 ketika Madrid menang 2-1 di Amsterdam semasa aksi pertama.
Layangan kad kuning itu menyaksikan dia dikenakan penggantungan bagi aksi timbal balas di laman sendiri sekali gus membolehkannya beraksi pada aksi suku akhir.
Ramos mengakui tindakannya itu semasa sesi sidang akhbar selepas tamat perlawanan dan menjelaskan perkara itu di laman Twitter.-AGENSI










