KOTA BHARU 27 Mac – Luahan kekecewaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar terhadap prestasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mendedahkan lagi kelemahan pemerintah negara ini kepada rakyat.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, rakyat sebenarnya sudah sedar bahawa PH mempunyai kelemahan dalam pakatan dan pentadbiran kerajaan.
“Bagi saya perkara seperti ini adalah kelemahan dalaman PH, (ternyata) kelemahan ada dan ini sudah dapat dibaca masyarakat,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Nurul Izzah baru-baru ini dalam wawancara dengan akhbar Singapura, The Straits Times, mendakwa kecewa dengan prestasi semasa kerajaan PH yang gagal menunaikan janji dan gagal menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya. – UTUSAN ONLINE











