KUALA LUMPUR 2 Mac – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menunjukkan isyarat kali kedua daripada rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara ketika ini.
Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Semenyih itu perlu menjadi peringatan kepada PH yang rakyat tidak lagi termakan dengan harapan serta janji palsu kerajaan ketika ini.
“Selain itu, rakyat juga memberi isyarat kali kedua kepada blok pembangkang supaya meneruskan persefahaman dan kerjasama agar menjadi gagasan pembangkang yang kuat demi menyuarakan denyut nadi rakyat.
“Hal ini sekali gus akan meletakkan kerajaan PH dalam keadaan sentiasa berhati-hati dalam ketelusan pentadbiran mereka. Selepas ini, kita akan ke PRK DUN Rantau dan ia akan menjadi referendum ketiga kepada PH yang rakyat mula menolak politik palsu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE










