KUALA LUMPUR – Rakuten Trade Sdn. Bhd. yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan dalam platform dagangan kontranya melalui pelancaran ciri-ciri baharu Contra 2.0 baru-baru ini untuk meningkatkan pengalaman perdagangan pelabur.
Pengarah Urusannya, Kaoru Arai berkata, Rakuten Trade yang memulakan operasi pada pertengahan 2017 kini mempunyai 27,000 akaun, dengan lebih 10 peratus daripadanya merupakan akaun kontra yang menyumbang 27 peratus kepada pendapatan bulanan syarikat.
Jelasnya, platform dagangan kontra telah mendapat minat yang tinggi daripada peniaga di bawah usia 40 tahun yang membentuk 80 peratus daripada jumlah pengguna akaun sedia ada.
“Bagi platform Contra 2.0, penambahbaikan dibuat berdasarkan maklum balas daripada pelanggan dan kami percaya ia akan mendapat sambutan yang baik serta membantu kami meningkatkan asas pelanggan,” katanya pada taklimat media mengenai Contra 2.0 di sini semalam.
Menurut Arai, platform Contra 2.0 menawarkan pengurangan fi pembrokeran daripada minimum RM7 hingga RM100 tetap, mencerminkan kemudahan pendahuluan tunai selain turut menawarkan program rebat perdagangan harian.
Katanya, pelanggan syarikat telah mencatatkan jumlah nilai perdagangan lebih RM3.5 bilion di Bursa Malaysia, satu kejayaan bagi syarikat pemula niaga yang kurang daripada dua tahun dan bukti kepada model perniagaan FinTech. – Bernama











