WASHINGTON 4 Mac – Puting beliung yang melanda negeri Alabama, Amerika Syarikat (AS) semalam mengorbankan 23 orang termasuk kanak-kanak selain menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan, jalan raya serta pokok.
Syerif Lee County, Jay Jones berkata, buat masa ini, mereka mengesahkan sebanyak 23 orang terkorban ketika sebahagian mangsa masih dirawat di hospital kerana kecederaan serius yang dialami mereka.
“Usaha pencarian mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan di timur ibu negara Montgomery,” kata Jones, semalam.
Jones yang menyifatkan insiden itu sebagai malapetaka buruk turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada kemungkinan keadaan akan menjadi lebih teruk.
Katanya, kesan kemusnahan akibat puting beliung itu dirakam menjangkau beberapa kilometer melibatkan kawasan seluas 0.4 kilometer.
Lebih daripada 6,000 rumah terputus bekalan elektrik di Alabama manakala 16,000 isi rumah turut mengalami gangguan serupa di Georgia.
Pihak berkuasa memberi amaran angka kematian boleh meningkat ketika pasukan penyelamat mencari melalui serpihan di Beauregard, kira-kira 95 kilometer di timur ibu negara Montgomery.
Menurut AL.com, malapetaka itu melanda Lee County, Lapangan Terbang Weedon Field di Eufaula dan sekurang-kurangnya enam daerah di Alabama.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menggesa penduduk Alabama dan wilayah terjejas akibat ribut berkenaan supaya berhati-hati dan berlindung di tempat selamat.– AFP











