Proses pengundian berjalan lancar di Thailand - Utusan Malaysia

Proses pengundian berjalan lancar di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Proses pengundian di 92,320 pusat mengundi di seluruh Thailand hari ini berjalan lancar, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand.

Pengerusi SPR, Itthiporn Boonprakong berkata, beribu-ribu pengundi memenuhi pusat mengundi yang dibuka sejak  8 pagi (waktu tempatan) dan ditutup pada  5 petang ini.

“SPR akan terus membenarkan pengundi yang telahpun berbaris di saluran mengundi (di dalam perkarangan pusat mengundi) untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sungguhpun tempoh untuk mengundi telah tamat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejumlah  51,205,624 pengundi yang layak dijangka mengundi untuk memilih 500 wakil ke Parlimen, di mana 350 daripada mereka akan dipilih secara terus menerusi bahagian pilihan raya, manakala 150 lagi dipilih menerusi perwakilan senarai parti.

Kira-kira  2,000 pegawai pilihan raya dan hampir 800,000 kakitangan bertugas di semua pusat mengundi di seluruh negara.

Bagi Pateeya, 19, yang pertama kali mengundi, dia berasa gembira dan teruja untuk mengundi serta menentukan masa depan politik negara ini.

“Akhirnya, saya boleh mengundi kerana saya mahu suara saya didengar dalam menentukan masa depan negara pada masa sama saya juga bimbang kalau-kalau keputusan pilihan raya ini tidak seperti yang saya harapkan.

“Saya mahu mengubah negara saya,” katanya.

Sementara itu, proses pengundian di Selatan Thailand berjalan lancar dengan kira-kira 1.4 juta pengundi yang layak dijangka mengundi di Pattani, Narathiwat dan Yala.

Tinjauan di pusat mengundi mendapati kawalan ketat dilakukan oleh anggota keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berulang. – Bernama
 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini