KUALA LUMPUR 5 Mac – Projek baharu dan prospek sokongan penjagaan kesihatan serta perkhidmatan infrastruktur yang baik dijangka memacu pertumbuhan UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) pada tahun ini.
UEM Edgenta dalam kenyataan berkata, antara kontrak yang diperoleh termasuk menyediakan perkhidmatan sokongan hospital, menaik taraf loji rawatan kumbahan dan kemudahan sampingan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, perkhidmatan integrasi pengurusan kemudahan di pusat pemulihan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut kenyataan itu, syarikat juga dianugerahkan kontrak pembangunan di Dubai, prestasi tenaga untuk Proton Holdings Berhad dan Hospital Universiti Sains Malaysia.
“Syarikat kini bersedia untuk menyediakan perkhidmatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak baharu yang telah menerima pesakit pertama pada 25 Februari lalu. Semua projek baharu ini akan berkembang pada tahun kewangan semasa dan masa depan,
“Kami akan memberi tumpuan untuk melindungi pegangan pasaran dan mengembangkan serta memperluaskan nilai bagi rangkaian penawaran,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kerja-kerja setakat 31 Disember 2018 berjumlah RM13.4 bilion didorong oleh dua bahagian teras yang kekal kukuh dalam menyediakan pulangan mapan dalam jangka masa panjang.
Katanya, syarikat kekal positif mengenai prospek untuk mendapatkan lebih banyak kontrak pada tahun kewangan 2019.
“Kami akan meneruskan inisiatif kecemerlangan operasi bagi mengoptimumkan margin keuntungan seperti program Lean untuk membina keupayaan syarikat melalui peningkatan proses, latihan dan teknologi serta program berkaitan inovatif untuk menangani bahagian operasi yang berimpak tinggi,” jelasnya.
UEM Edgenta mencatat keuntungan bersih sebanyak RM152.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 peningkatan 22 peratus berbanding RM125.1 juta pada tahun sebelumnya.
Syarikat masih mampu mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak tiga peratus kepada RM2.2 bilion pada tahun kewangan 2018 berbanding RM2.1 bilion bagi tempoh sama 2017 walaupun berdepan persekitaran operasi yang mencabar. Prestasi itu disumbangkan oleh semua bahagian perniagaan utama.










