PRK Semenyih: Bukti Melayu dominan politik - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: Bukti Melayu dominan politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 3 Mac – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih merupakan petunjuk jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak banyak mempedulikan orang Melayu Islam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, itu juga menyaksikan kebangkitan yang jelas pengaruh politik Melayu Islam sekali gus akan menjadi faktor dominan walau bagaimana berubah pun landskap politik negara.

Menurutnya, pengaruh politik Islam semakin terserlah hasil kerjasama erat antara UMNO dan Pas, kedua-dua parti komited menjayakan sinergi politik itu biarpun Tun Dr. Mahathir Mohamad berusaha mengagalkan kerjasama strategik mereka.

“Orang Melayu telah menghantar mesej yang jelas bahawa tanpa sokongan orang Cina dan India sekali pun, orang Melayu masih boleh meraih kemenangan jika mereka mempunyai kesatuan matlamat.

“Maka, adalah sangat penting untuk semua pihak tidak mengambil mudah politik Melayu Islam kerana ia akan terus menjadi dominan landskap politik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, menerusi kemenangan di Semenyih itu juga, bangsa Cina dan India harus memahami naratif Melayu Islam itu adalah karakter politik Malaysia yang tidak boleh mereka ubah dan buang.

Tambahnya, apabila orang Melayu memilih untuk bersatu dengan matlamat yang jelas, sokongan bangsa Cina dan India tidak lagi menjadi penentu, mereka tidak mempunyai pilihan kecuali mencari jalan bekerjasama dengan parti politik Melayu yang dominan.

“Semenyih adalah referendum yang jelas bahawa Bersatu tidak boleh menggantikan UMNO dan PAS sebagai wadah perjuangan politik bangsa Melayu kerana gagal menyakinkan bahawa mereka jurucakap dan gagal mewakili kepentingan politik bangsa Melayu.

“Strategi Bersatu mengukuhkan perwakilannya di Parlimen melalui penerimaan Ahli Parlimen UMNO yang melompat bukannya semakin mengukuhkan parti itu, sebaliknya, merencatkan moral dan wibawa Bersatu pada mata dan pandangan bangsa Melayu serta sekutu mereka yang lain terutamanya DAP,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kemenangan itu juga menjelaskan bahawa Malaysia baharu yang dilakarkan kerajaan PH adalah kabur dan sukar diterima oleh orang Melayu, malah semua orang masih tertanya-tanya sehingga kini apa yang baharu sebenarnya.

Lebih malang, katanya, negara seolah-olah kembali kepada era lampau yang sangat bersandarkan watak lama seperti Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim, malah Daim Zainuddin selain pelakon tambahan seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mat Sabu.

Menurutnya, mereka telah begitu lama menguasai persada politik Malaysia sehinggakan apabila berkuasa, tiada langsung dasar yang bersifat ‘game changing’ yang diperkenalkan, hanya menggali dan terus menggali kesalahan demi kesalahan.

“Rakyat sudah muak dengan semua ini, rakyat mahukan perubahan dalam erti kata yang sebenar sekali gus Malaysia harus mematikan budaya politik naungan yang berpaksikan kepada pesona politik sesetengah individu.

“Kepada pengundi Semenyih, terima kasih yang tidak terhingga atas pencerahan yang telah dipancarkan kepada BN dan UMNO, malah kepada PAS, insha-Allah kita tidak akan cuai dan leka, kita tidak akan mengulangi keangkuhan lepas kerana Semenyih adalah permulaan yang sangat merendahkan hati UMNO dan BN,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN