PRK Rantau: Bertanding bebas kerana tak puas hati dengan `bossku'  - Utusan Malaysia

PRK Rantau: Bertanding bebas kerana tak puas hati dengan `bossku’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Salah seorang calon bebas mendakwa beliau bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana tidak berpuas hati dengan ‘bossku’.

Calon berkenaan, R. Malar, 51, berkata, beliau kurang senang melihat anak muda melaungkan ‘Malu Apa Bossku’  sedangkan slogan itu berkait bekas pemimpin yang terpalit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Saya bertanding sebab saya tidak begitu senang dengan apa yang berlaku iaitu slogan ‘Malu Apa Bossku’. Apakah mesej yang pemimpin kita mahu hantar kepada anak muda kita. Kita mahu tanamkan akhlak yang baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sekarang ada skandal 1MDB yang terbesar di dunia, namun kita lihat ada yang melaungkan ‘bossku’,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini. 

Selain itu, Malar berkata, beliau bertanding PRK DUN Rantau kerana tidak senang dengan tindakan kerajaan terdahulu tidak membenarkan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram bertanding Pilihan Raya Umum ke-14. 

Katanya, beliau yang merupakan suri rumah dan menetap di Kampung Ganapathy dekat sini memilih logo pokok sebagai simbolik kepada hasratnya untuk berkhidmat kepada masyarakat.  

Jelas beliau, pokok mempunyai pelbagai peranan apabila ia ditanam termasuk sebagai penebat hakisan di tebing sungai dan sebagai tempat berteduh semasa cuaca panas. 

“Saya pernah menetap selama 25 tahun di Toronto, Kanada dan bekerja sebagai penyampai radio berbahasa Melayu di sana iaitu Radio Kampungku,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini