PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 13 April depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga menetapkan hari penamaan calon bagi PRK itu pada 30 Mac ini manakala hari pengundian awal pada 9 April depan.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam 12 April depan.
“Bagi PRK ini, SPR menyasarkan sebanyak 70 peratus pengundi akan keluar mengundi. Sebanyak 16 pusat mengundi akan dibuka melibatkan keseluruhan 55 saluran dengan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM 1.8 juta,” katanya pada sidang akhbar PRK DUN Rantau di Menara SPR di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, daftar pemilih untuk PRK tersebut adalah Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 25 Februari lalu yang mengandungi 20,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, pengundi awal (118) dan pengundi tidak hadir luar negara (4).
Bagi menjalankan proses PRK itu, Azhar berkata, SPR bersetuju melantik Pegawai Daerah Seremban, Mohd. Nizam Tajul Arus sebagai pegawai pengurus pilihan raya dengan dibantu empat penolong pegawai pengurus.
“SPR akan menggunakan Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Bandar Sri Sendayan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.
“Ia turut membabitkan seramai 515 orang petugas untuk mengendalikan proses PRK ini,” katanya.
PRK DUN Rantau diadakan berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lepas yang mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu adalah tidak sah dan terbatal.
Bagaimanapun, Mohamad Hasan gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lepas untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya tersebut.
Mohamad Hasan memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April selepas calon PKR, Dr S. Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas yang dikeluarkan oleh SPR. – K! ONLINE











