LANGKAWI – Tindakan dua nelayan warga Thailand menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di perairan Tanjung Rhu di sini mengundang padah apabila mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi semalam.
Dua lelaki berusia 20 dan 36 tahun itu ditahan di kedudukan 1.02 batu nautika dari pantai Tanjung Rhu di sini kira-kira pukul 4.30 petang.
Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, sepasukan anggotanya yang melakukan rondaan Op Gelora dengan bot ronda RH9 mengesan sebuah bot nelayan tidak bernombor sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan mencurigakan.
“Kita bertindak menahan bot yang dinaiki dua lelaki Thailand tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesalahan yang dilakukan mereka adalah melanggar syarat pas lawatan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tidak sah di perairan laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, penahanan itu turut membongkar kegiatan nelayan berusia 36 tahun itu yang didapati telah menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara secara tidak sah sejak kira-kira 20 tahun lalu.
“Dua nelayan ini yang masing-masing dari Trang dan Satun, Thailand mempunyai pas sempadan yang sah tetapi tidak mempunyai permit untuk bekerja,” ujarnya.
Tambahnya, dalam tangkapan itu, pihaknya merampas sebuah bot fiber, enjin ekor panjang jenama Honda GX390 dan pukat ikan dianggarkan bernilai RM12,000.- K! ONLINE











