KUALA LUMPUR 31 Mac – Bos pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal mengakui agak ‘geram’ dengan Hafizh Syahrin Abdullah selepas pelumba tersebut mencatatkan keputusan hambar dalam sesi latihan pertama di Argentina, semalam.
Hafizh mengharungi detik sukar apabila berubah jentera daripada Yamaha M1 yang ditungganginya tahun lalu kepada KTM RC16 untuk musim ini.
Jentera baharu pelumba negara itu telah memberi tamparan hebat terhadap prestasinya dalam saingan pertama kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang berlangsung di Sirkit Antaranbangsa Losail, Qatar pada 10 Mac lalu.
Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat tercorot dengan catatan masa 43 minit 20.144 saat manakala rakan sepasukannya Miguel Oliveira dari Portugal berada di kedudukan ke-17, 42:53.279s.
Bercakap kepada MotoGP.com ketika sesi latihan ketiga hari ini, Poncharal yang sebelum ini mengkritik Hafizh di Misano tahun lalu berkata, pelumba tersebut sangat pelik, namun mereka berupaya mengharungi segalanya bersama.
“Dia menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan tahun lepas untuk perlumbaan keduanya di MotoGP. Kami sedar dia ada potensi besar.
“Dan semalam dalam latihan bebas pertama merupakan malapetaka. Dia seperti anda (penemuduga Simon Crafar) atau saya sedang menunggang motosikal mengelilingi trek. Saya sangat marah.
“Bagaimanapun selepas tiga pusingan di latihan bebas kedua, dia ada peningkatan. Tiada perubahan apa-apa terhadap jentera, namun jelas ada perubahan dalam pemikirannya.
“Buat masa ini dia tidak berani untuk mencabar dirinya, atas sebab-sebab yang saya tidak dapat jelaskan dan dia pun tidak boleh menjelaskannya.
“Apa-apa pun kami tetap berada di belakangnya untuk memberi sokongan. Diharap dia semakin hari semakin hampir dengan Miguel,” katanya.
Hafizh bakal memulakan perlumbaan MotoGP di petak ke-21 pada pukul 2 pagi waktu Malaysia, esok.- AGENSI











