SEBERANG PERAI – Dua penunggang motosikal ditahan polis selepas didapati menunggang dalam keadaan mabuk di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi tadi.
Dalam operasi selama empat jam berakhir pukul 4.30 pagi itu, mereka yang ditahan ialah lelaki berusia 39 dan 51 tahun yang menunggang dua buah motosikal.
Operasi berkenaan dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas didapati menunggang dalam keadaan kepekatan alkohol melebihi 80 miligram (mg)/100 mililiter (ml) yang ditetapkan.
“Hasil ujian menggunakan alat pengesan kepekatan alkohol, EBA II mendapati mereka melebih had iaitu masing-masing 91mg/100ml dan 151mg/100ml,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Noorzainy, kedua-duanya yang bekerja sendiri itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Noorzainy turut menasihati orang awam agar tidak memandu atau menunggang ketika di bawah pengaruh alkohol kerana boleh membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. – K! ONLINE











