SHAH ALAM 1 Mac – Polis bersedia memanggil semula semua suspek yang pernah disiasat dalam kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan, jika diarahkan untuk melakukan siasatan ulangan oleh Pejabat Peguam Negara.
Ini selepas laporan bedah siasat kedua ke atas mayat mangsa yang telah lengkap dan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu, dipercayai antaranya menjelaskan bahawa terhadap kecederaan di bahagian muka Allahyarham.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, apa juga tindakan susulan daripada pihak polis berhubung kes itu selepas ini adalah bersandarkan kepada arahan Peguam Negara.
“Kalau dapat arahan panggil balik (kesemua suspek) kita akan siasat, kita dah serah (laporan bedah siasat) kepada Pejabat Peguam Negara, kita tunggulah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini antara yang ditahan bagi membantu siasatan misteri kematian Nazrin adalah isterinya sendiri Samirah Muzaffar; bekas suami kepada isterinya; adik ipar perempuan serta dua anak tiri Allahyarham.
Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu dan dalam laporan awal, Allahyarham dikatakan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.
Dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.
Polis kemudian memulakan siasatan ke atas anggota keluarga mangsa dan pada 8 Oktober lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham digali semula agar bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baru mengenai kematiannya.
Jenazah kemudiannya dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu. – UTUSAN ONLINE











