MADRID 3 Mac – Gerard Pique mendakwa mulut Lionel Messi berdarah selepas bertembung dengan pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos semasa aksi El Clasico dalam saingan La Liga, awal pagi tadi.
Messi dan Ramos terlibat dengan insiden pada separuh masa pertama yang menyaksikan Barcelona menang 1-0 di Santiago Bernabeu sekali gus meletakkan skuad kendalian Ernesto Valverde selesa di puncak La Liga dengan kelebihan 10 mata.
Ramos menolak bola mengatasi Messi tetapi kemudiannya dilihat menyiku muka kapten Barcelona itu dan Messi kemudiannya menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengadil perlawanan yang tidak mengenakan sebarang tindakan kepada kapten Madrid itu.
Bekas pengendali Madrid, Jose Mourinho yang tampil selaku pengulas perlawanan bagi beIN SPORTS mengakui Ramos bertindak menyiku Messi dalam perlawanan itu.
Ramos bagaimanapun menafikan perbuatannya itu kepada pemberita selepas tamat perlawanan tetapi rakan senegaranya dari Sepanyol, jelas berang dengan perbuatan itu.
“Terdapat darah dalam mulut Leo, ini adalah tindakan kasar,” kata Pique.-AGENSI











