Pinjaman tak dapat, duit 'melayang' - Utusan Malaysia

Pinjaman tak dapat, duit ‘melayang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Seorang peniaga berusia 29 tahun di Jerantut kerugian RM26,800 selepas menyedari ditipu pemberi pinjam wang di laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa ingin membuat pinjaman RM80,000 selepas melihat iklan di Facebook pada 21 Februari lalu.

Lelaki tersebut meninggalkan nombor telefon di ruang komen iklan tersebut sebelum dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai Aaron pada 22 Februari.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengadu (mangsa) dihubungi melalui aplikasi Whatsapp dan memaklumkan ingin membuat pinjaman RM80,000.

“Suspek meminta wang proses sebanyak RM4,500 untuk membuka akaun pinjaman. Tanpa ragu-ragu, pengadu memasukkan wang melalui tiga transaksi pada hari yang sama,” ujar Mohd. Wazir.

Beliau menambah, mangsa kemudian diminta membayar deposit bayaran balik untuk tempoh 12 bulan sebanyak RM10,300.

Selepas membuat bayaran deposit, mangsa dimaklumkan pinjaman telah dimasukkan ke dalam akaun tetapi disekat kerana wang tersebut tidak diinsuranskan di bawah Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

“Pengadu disuruh untuk membayar wang PIDM berjumlah RM3,500 dan juga perlu membeli insurans PIDM berjumlah RM8,500.

“Selepas bayaran itu dibuat, Aaron memaklumkan pengadu perlu membuat pembayaran RM8,000 lagi dan membuatkan pengadu berasa ditipu,” tambah Mohd. Wazir.

Ujar beliau, semua bayaran tersebut dilakukan mangsa melalui lapan transaksi antara 22 hingga 27 Februari lalu.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN