KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti menunaikan segala janji yang ditaburkan kepada penduduk Semenyih walaupun tewas kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, janji yang perlu ditunaikan kerajaan PH bukan sahaja sekadar dalam PRK DUN Semenyih tetapi termasuk janji semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Bermula dengan program penukaran minyak hitam percuma, kemudian janji-janji pembinaan klinik kesihatan dan hospital, dana penyelenggaraan dewan, pemberian hamper dan tawaran baik pulih rumah, pengawalan harga minyak dan baru-baru ini janji kajian pengambilalihan konsesi tol.
“Takkan tiba-tiba Semenyih dah tidak memerlukan klinik, tidak perlukan hospital dan tidak perlu jalan raya baik. Janji yang ditabur itu kita lihatlah sama ada benar-benar ikhlas atau sebenarnya janji bersyarat,” katanya menerusi kenyataan di dalam akaun Facebook miliknya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Najib turut mengingatkan rakyat untuk menuntut segala kajian yang dijanjikan dan janji yang telah dibuat kepada rakyat bermula dari PRU-14 sehingga PRK kali ini.
Katanya, rakyat tidak perlu memberi peluang kepada kerajaan PH yang sekadar bercakap kosong demi undi.
Sementara itu, Najib turut mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada jentera BN, parti-parti komponen, penyokong dan rakan-rakan dari Pas yang telah menyumbang tenaga di setiap pusat daerah mengundi (PDM).
Katanya, beliau yakin BN akan dapat menempuh segalanya dan bangkit demi rakyat. – UTUSAN ONLINE











