PORT DICKSON 2 Mac – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan dibuat pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, namun menegaskan kedudukan kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Pusat masih kukuh.
Bagaimanapun, katanya, gambaran perasaan rakyat terutamanya sentimen yang disuarakan masyarakat Melayu harus ambil kira dan tugas mesti diteruskan dengan baik.
“Saya yakin jika diberi sedikit masa, rakyat akan faham mengenai langkah-langkah yang diambil dan keterbatasan dalam pelaksanaan program.
“Saya berpendapat Malaysia harus kekal dengan semangat Perlembagaan yang menjanjikan kedudukan Islam dan Melayu tetapi mesti tegas dalam aspek keharmonian kaum,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Port Dickson di sini malam ini.
Menurut Anwar, kerajaan PH juga harus mewakili sentimen, keperluan dan aspirasi semua kaum serta rakyat di negara ini.
Beliau juga menangkis andaian bahawa kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali kedua berturut-turut selepas di Cameron Highlands menandakan PH di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin hilang sokongan rakyat.
“Tafsiran seperti itu tidak sesuai kerana Parlimen Cameron Highlands bukan kerusi yang dipegang oleh PH (sebelum PRK lalu). (PRK DUN) Semenyih memberi gambaran ada beberapa masalah yang belum sempat kita selesaikan.
“Kalau hendak kata semua kalah pun tidak betul kerana (PRK Parlimen) Port Dickson kita menang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










