KUALA LUMPUR 12 Mac – Dalam ucapan pertamanya sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengkritik sikap Pakatan Harapan (PH) yang didakwa hanya tahu menyalahkan kerajaan terdahulu apabila gagal menunaikan tanggungjawab sendiri.
Kata Naib Presiden UMNO itu, PH gagal untuk menunaikan janji dan menjaga kebajikan rakyat namun meletakkan kesalahan itu di bahu Barisan Nasional (BN).
“Seperti mana yang kita dapat lihat, kerajaan PH masih lagi menggunakan pendekatan ‘blame game’ yang suka mempersalahkan kerajaan BN untuk menghalalkan kegagalan mereka di mana kebajikan rakyat semakin terabai dan terpinggir.
“Sejak PH mengambil alih, masalah negara bertimbun tambah,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau turut membangkitkan kegagalan kerajaan PH menguruskan hutang dan rizab Bank Negara sehingga keadaan menjadi semakin buruk sejak mereka memerintah.
“Hutang negara kini menyaksikan pertambahan dari 50.7 peratus pada 2017 kepada 51.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada penghujung 2018.
“Jumlah rizab Bank Negara juga semakin menurun iaitu berjumlah AS$102.3 bilion pada 15 Februari 2019 berbanding AS$109.5 bilion pada bulan April 2018, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan hanya mampu menampung satu kali jumlah hutang luar negara bagi jangka masa pendek,” katanya.
Ucapan tersebut merupakan ucapan pertama Ismail Sabri sebagai Ketua Pembangkang setelah mengambil alih kedudukan tersebut daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang berehat.
Ucapannya walau bagaimanapun terpaksa dihentikan setelah Dewan Rakyat ditangguhkan pada pukul 5.30 petang. – UTUSAN ONLINE











