PORT DICKSON 2 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengambil kira semua mesej yang cuba disampaikan rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang dimenangi Barisan Nasional (BN) hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan memberi pertimbangan mendalam terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan sepanjang kempen PRK berkenaan.
“Saya kira kita ambil iktibar apa yang hendak dibetulkan dalam mana-mana pilihan raya kecil atau besar.
“Kita telah cuba sedaya upaya tetapi kalau rakyat telah buat pilihan, ada mesej yang perlu kita terima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Port Dickson, di sini malam ini.
Dalam PRK tersebut, calon BN, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 apabila memperoleh 19,780 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan Kuan Chee Heng (725 undi). – UTUSAN ONLINE










