SRINAGAR 28 Feb. – Konflik India-Pakistan belum menunjukkan tanda akan reda apabila tentera India serta Pakistan saling berbalas tembakan di wilayah bergolak Kashmir sejak pukul 6 pagi waktu tempatan dan berlarutan selama sejam, hari ini sekali gus mencetuskan kebimbangan perang akan menjadi kenyataan.
Seorang lelaki dilaporkan cedera akibat terkena serpihan dalam insiden berkenaan yang memaksa penduduk India di Jammu dan Kashmir membina sebanyak 14,000 pusat perlindungan (bunker) bagi melindungi mereka jika perang tercetus.
Pergolakan terbaharu itu mendorong beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan China menggesa India serta Pakistan supaya bertenang.
Selain itu, konflik terbabit juga mengakibatkan hampir 1,000 penerbangan terpaksa dibatalkan ekoran penutupan ruang udara Pakistan sehingga malam ini.
INDIA DESAK BEBASKAN JURUTERBANG
Mail Online melaporkan, Kementerian Luar India memaklumkan kepada Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Pakistan bahawa New Delhi mengharapkan juruterbang tentera udara India, Komander Sayap Abhinandan Varthaman dihantar pulang dengan selamat selepas dia ditahan di wilayah Kashmir yang dikuasai Pakistan, semalam.
“Pakistan sudah dimaklumkan untuk memastikan anggota pertahanan yang ditahan itu tidak diapa-apakan. India juga mengharapkan dia dihantar dengan segera dan selamat,” kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan bersedia membebaskan Varthaman yang ditahan esok bagi mengendurkan ketegangan memuncak dengan India ketika ini.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata, Islamabad akan membebaskan juruterbang itu sebagai usaha keamanan dengan New Delhi.
PAKISTAN MAHU DIPLOMASI, INDIA TUNTUT PENYATUAN
Imran selain itu menggesa pemimpin India ‘supaya bijak dan memahami situasi dengan baik’.
“Sekiranya ketegangan bermula dari sini, ke manakah ia akan pergi? Adakah kita boleh membuat sebarang perhitungan yang salah dengan senjata yang kami dan anda miliki?,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Imran juga menjemput India ke meja rundingan bagi menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara itu.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narenda Modi menggesa rakyatnya bersatu hati susulan penangkapan Varthaman sehingga mencetuskan kemarahan penduduk di India.
“Untuk berdepan dengan objektif mereka, setiap rakyat India perlu berdiri teguh seperti tembok, seperti batu. Seluruh negara ini menjadi satu hari ini dan berdiri bersama-sama tentera.
“Seluruh dunia sedang melihat keazaman kami dan kami mempunyai keyakinan terhadap keupayaan tentera. India akan hidup sebagai satu, bekerja sebagai satu, berkembang sebagai satu, berjuang sebagai satu dan menang sebagai satu,” tegasnya.
DUNIA MINTA ISLAMABAD- NEW DELHI BERTENANG
Pemimpin seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), China dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa India dan Pakistan agar bertenang.
Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata beliau berasa bimbang berhubung ketegangan yang memuncak antara India dan Pakistan dan mahu ia diselesaikan secara dialog dan diplomatik.
Selain itu, Pentadbiran White House turut mengecam konflik memuncak antara India dan Pakistan serta menggesa kedua-dua negara ‘mengambil langkah segera meredakan krisis berkenaan.’
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menawarkan diri untuk menjadi perantara antara berhubung konflik terbaharu India-Pakistan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman, Maria Adebahr menggesa Pakistan dan India meredakan ketegangan dan mengelak daripada mencetuskan konflik baharu.
OPERASI PENERBANGAN TERJEJAS
Beberapa syarikat penerbangan termasuk Emirates, Etihad dan Qatar Airways, membatalkan penerbangan ke Pakistan selepas negara itu menutup ruang udaranya sehingga lewat malam ini.
Selain itu, portal menjejaki penerbangan menunjukkan Singapore Airlines, British Airways dan beberapa lagi penerbangan dipaksa menukar haluan terutamanya pesawat menggunakan ruang udara India dan Pakistan untuk ke Eropah, Asia Barat serta Asia.
Ketua Eksekutif dan Pengasas Martin Consulting India, Mark Martin berkata, kira-kira 800 pesawat menggunakan ruang udara India-Pakistan, menjadikan situasi ketika ini adalah ‘sangat kritikal’.
SASARAN INDIA MENGELIRUKAN
Al-Jazeera yang memetik saksi sebagai, sebanyak empat butir bom dilancarkan tentera udara India meledak di kawasan hutan dan padang di kawasan terpencil di luar utara pekan Jaba, kira-kira 100 kilometer utara Islamabad namun, tiada sebarang kerosakan atau kecederaan berlaku di kawasan berkenaan.
Malah, jurucakap hospital tempatan yang bergegas ke lokasi kejadian tidak menemukan sebarang mayat atau mangsa yang cedera ekoran serangan kira-kira pukul 3 pagi waktu tempatan itu, kelmarin. – AGENSI/AFP










